
Justeru itu, kita harus memiliki sikap mental yang positif. Untuk itu, kita harus mengikis kepercayaan yang negatif dan sebaliknya membaharui diri dengan kepercayaan yang positif. Apabila kita memiliki sistem kepercayaan yang positif tentang diri kita, maka akan lahirlah tingkah laku atau natijah yang baik daripada individu tersebut. Suatu langkah yang bijak dilakukan ialah menjana perubahan yang berkekalan. Untuk memastikan perubahan yang berkekalan, kita perlu menyediakan skrip dan skop hidup kita dengan menetapkan matlamat dan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Dengan kata lain, generasi muda belia boleh menyediakan pernyataan misi peribadi, menetapkan matlamat dan merumuskan satu pelan tindakan untuk mencapai matlamat. Mereka juga mestilah mengetahui cara berkesan untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan. Namun, amatlah penting juga mereka mengekalkan keinginan dan semangat yang mendalam serta berterusan untuk berubah dengan cemerlang. Pengesahan dan pernyataan positif yang dikatakan kepada diri sendiri akan merangsang individu untuk mencapai hasil yang diimpikan. Seterusnya, pengukuhan dan pengakuan diri mesti diteruskan pada setiap waktu agar perubahan yang dijana akan berkekalan. Sebagai kesimpulan, generasi muda yang mempunyai wawasan jauh serta bertanggungjawab terhadap maruah diri, agama dan negara akan menyedari cabaran serta harapan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
AZAM DIRI
Kehidupan ini amat berharga, laluan yang kita jadikan landasan hidup juga tidak akan berulang untuk kita tempuhi. Generasi muda belia mestilah mengaplikasi syariat Islam dalam kehidupan seharian serta berazam untuk melakukan perubahan yang berterusan demi mempertahankan dan mengembalikan budaya Melayu Islam, di tempatnya yang asal.
Maknanya jika kita gagal dalam menentukan arus dan gelombang kehidupan itu, kita akan menerima akibat dan kesan yang tidak baik. Perubahan budaya kehidupan yang melanda kita jangan dianggap sebagai perubahan sosial yang boleh diterima pakai sepenuhnya. Kita perlu pandai menentukan kebaikan dan natijah darinya. Kita perlu menyukat sejauh mana kita mampu mewujudkan satu keadaan di mana ketahanan diri boleh diperkuat. Biarlah kita dengan cara kita dan budaya kita orang-orang Brunei. Calak kebruneian biarlah terserlah, kerana di dalamnya mengandungi unsur kemuliaan dan ketinggian budi. Keluhuran akhlak dan pergaulan yang terpuji.
0 comments:
Post a Comment