PERUBAHAN DIRI

Thursday, November 12, 2009 ·

Dalam Islam kita perlu mencari pembaharuan (islah) dari keadaan sekarang kepada yang lebih baik dan seterusnya kepada yang lebih cemerlang. Oleh yang demikian kita akan sentiasa mempertingkatkan diri (ihsan) ke arah kesempurnaan (itqan). Apabila prinsip islah, ihsan dan itqan mampu digarap, generasi muda belia akan meningkatkan tahap keimanan diri dan sentiasa berusaha untuk melayakkan diri ke tahap yang lebih tinggi tanpa berputus asa. Mendapatkan sesuatu yang terbaik, memperbaiki dan menambahnya merupakan suatu proses yang berterusan dalam kehidupan mereka. Justeru itu, aktiviti mereka akan lebih terarah dan setiap kesempatan akan digunakan dengan sebaik-baiknya. Memprogram sistem kepercayaan diri, sebenarnya kita ialah apa yang kita percaya. Sebagai contoh, sekiranya kita mempercayai bahawa diri kita ini tidak berguna dan tidak mampu menonjolkan akhlak yang mulia, kita akan terus mengamalkan perkara yang negatif dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya kepercayaan kendiri menentukan had pencapaian yang akan kita capai. Batasan kepercayaan kendiri jugalah yang akan membataskan perkembangan diri seterusnya.

Justeru itu, kita harus memiliki sikap mental yang positif. Untuk itu, kita harus mengikis kepercayaan yang negatif dan sebaliknya membaharui diri dengan kepercayaan yang positif. Apabila kita memiliki sistem kepercayaan yang positif tentang diri kita, maka akan lahirlah tingkah laku atau natijah yang baik daripada individu tersebut. Suatu langkah yang bijak dilakukan ialah menjana perubahan yang berkekalan. Untuk memastikan perubahan yang berkekalan, kita perlu menyediakan skrip dan skop hidup kita dengan menetapkan matlamat dan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Dengan kata lain, generasi muda belia boleh menyediakan pernyataan misi peribadi, menetapkan matlamat dan merumuskan satu pelan tindakan untuk mencapai matlamat. Mereka juga mestilah mengetahui cara berkesan untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan. Namun, amatlah penting juga mereka mengekalkan keinginan dan semangat yang mendalam serta berterusan untuk berubah dengan cemerlang. Pengesahan dan pernyataan positif yang dikatakan kepada diri sendiri akan merangsang individu untuk mencapai hasil yang diimpikan. Seterusnya, pengukuhan dan pengakuan diri mesti diteruskan pada setiap waktu agar perubahan yang dijana akan berkekalan. Sebagai kesimpulan, generasi muda yang mempunyai wawasan jauh serta bertanggungjawab terhadap maruah diri, agama dan negara akan menyedari cabaran serta harapan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.


AZAM DIRI


Kehidupan ini amat berharga, laluan yang kita jadikan landasan hidup juga tidak akan berulang untuk kita tempuhi. Generasi muda belia mestilah mengaplikasi syariat Islam dalam kehidupan seharian serta berazam untuk melakukan perubahan yang berterusan demi mempertahankan dan mengembalikan budaya Melayu Islam, di tempatnya yang asal.
Maknanya jika kita gagal dalam menentukan arus dan gelombang kehidupan itu, kita akan menerima akibat dan kesan yang tidak baik. Perubahan budaya kehidupan yang melanda kita jangan dianggap sebagai perubahan sosial yang boleh diterima pakai sepenuhnya. Kita perlu pandai menentukan kebaikan dan natijah darinya. Kita perlu menyukat sejauh mana kita mampu mewujudkan satu keadaan di mana ketahanan diri boleh diperkuat. Biarlah kita dengan cara kita dan budaya kita orang-orang Brunei. Calak kebruneian biarlah terserlah, kerana di dalamnya mengandungi unsur kemuliaan dan ketinggian budi. Keluhuran akhlak dan pergaulan yang terpuji.

0 comments: